Tuesday, August 6, 2013

Kenyataan Akhbar ke 2 : Susu Bayi Mugkin Tercemar Dengan Bakteria Clostridium Botulinum

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini isu whey protein concentrate (WPC80) keluaran syarikat Fonterra Ltd. New Zealand yang disyaki tercemar dengan bakteria Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Berdasarkan maklumat yang telah diterima daripada pihak berkuasa New Zealand, WPC80 yang disyaki telah tercemar dengan bakteria Clostridium botulinum mungkin digunakan dalam produk-produk berikut:
  • Nutricia Karicare Stage 1 Infant Formula for babies from birth
  • Nutricia Karicare Stage 2 Follow-on Formula products for children from 6 months old
Namun begitu, sehingga kini pihak berkuasa New Zealand belum dapat mengesahkan bahawa produk-produk tersebut telah dieksport ke Malaysia.
Di samping itu, WPC80 juga dieksport dari Fonterra Ltd. New Zealand ke Malaysia sebagai ramuan untuk digunakan bagi membuat formula bayi (infant formula), formula susulan (follow-on formula) dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak berkuasa New Zealand telah mengesahkan bahawa tiada WPC80 yang disyaki tercemar telah dieksport ke Malaysia.
Mengikut pihak berkuasa Australia, WPC80 yang disyaki tercemar digunakan di dalam premix infant formula atau follow-on formula oleh Fonterra Australia Pty. Ltd. dan produk tersebut telah disahkan dieksport hanya kepada Danone Dumex Malaysia. Dalam hal ini, syarikat Danone Dumex Malaysia telah sebelum ini mengambil langkah proaktif dengan menarik balik secara sukarela beberapa batch produk susu keluaran mereka sebagai langkah berjaga-jaga. Berdasarkan perkembangan terbaru, syarikat tersebut akan menarik balik secara sukarela beberapa lagi batch produk susu keluaran mereka. Sehubungan itu, pihak KKM akan memastikan proses pelupusan produk yang dipanggil balik dijalankan oleh syarikat tersebut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, berkuatkuasa 5 Ogos 2013, KKM telah meningkatkan tahap kawalan ke atas pengimportan produk-produk berikut sekiranya diimport:
  • Nutricia Karicare Stage 1 Infant Formula
  • Nutricia Karicare Stage 2 Follow-on Formula
  • Premix infant formula atau follow-on formula yang mengandungi WPC80 dari Fonterra New Zealand 
Produk-produk tersebut tidak dibenarkan diimport ke negara ini melainkan dengan pengesahan daripada pihak berkuasa (competent authority) negara pengeksport bahawa produk tersebut tidak tercemar dengan Clostridium botulinum.
Pada masa yang sama KKM sedang mengambil langkah kawalan berkaitan dengan isu ini bagi memastikan keselamatan produk makanan terlibat yang berada di pasaran. Siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang mungkin mengimport Premix infant formula atau follow-on formula yang mengandungi WPC80 yang disyaki tercemar dari Fonterra New Zealand. KKM akan mengarahkan syarikat yang terlibat untuk menarik balik produk tersebut dari pasaran sekiranya syarikat-syarikat berkenaan didapati menggunakan bahan ramuan terbabit dalam produk yang dihasilkannya.
KKM juga menasihatkan industri yang ada menggunakan ramuan Premix infant formula atau follow-on formula yang mengandungi WPC80 dari Fonterra New Zealand supaya menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dengan kadar segera supaya pengesahan dapat dibuat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga yang menggunakan produk berkenaan seperti di Lampiran 1 dinasihatkan supaya tidak menggunakannya dan menggantikannya dengan produk jenama lain buat sementara waktu.
KKM akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara ini dari semasa ke semasa. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan mengenai perkara tersebut, pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM di talian 03-8883 3652 / 03-8883 3653 atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my.

NORAINI BT DATO’ MOHD OTHMANPENGARAH KANAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA5 Ogos 2013


1 comment:

Ainun Nadini said...

hi still bole join GA ni :) sampai 15hb. klik banner, http://blogcontestgiveaway.blogspot.com/2013/07/giveaway-ramadhan.html

slamat hari raya.. =)